Jumaat, 27 Januari 2012

AKIDAH : Kenali Agama Anda

Assalamu'alaikum...Rakan-rakan pembaca yang dikasihi, apa khabar IMAN anda hari ini? Sudahkah anda menunaikan kewajipan sebagai seorang MUSLIM? Jawablah persoalan-persoalan ini dengan seikhlasnya, tepuk dada tanya iman. Namun tahukah anda akan pengertian IMAN dan ISLAM
(Sila nyatakan kefahaman anda di dalam ruangan ulasan yang disediakan)
Mari kita lihat hadith Nabi berkaitan definisi IMAN & ISLAM :

Daripada Saiyidina 'Umar, beliau berkata: Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorang pun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi dan disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata:

Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang ISLAM. Lalu Rasulullah bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kami pun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. 

Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang IMAN. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. 

Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. 

Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kamibng berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya). 

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.                      
( Hadis riwayat Al-lmam Muslim )

Rakan-rakan yang disayangi, oleh itu marilah kita bersama-sama memahami dan menghayati maksud Islam dan Iman dengan sebenarnya agar ia menjadi agama yang sejati bukannya agama yang diwarisi. Renung-renungkan dan selamat beramal. 








Tiada ulasan:

Catat Ulasan